Friday, May 11, 2012

Tentang Anak

# Mulakan hidup anak dengan panggilan nama yang baik. Panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak malu dan berasa rendah diri.

# Berikan anak pelukan setiap hari kerana kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan kebijaksanaan minda atau otak yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

# Pandanglah anak dengan pandangan kasih sayang (pandangan ini akan membuatkan anak lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran).

# Berikan peneguhan setiap kali anak berbuat kebaikan (berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

# Jangan harapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan itu membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuk melakukan kesilapan.

# Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (ini kerana anak-anak akan terus membesar sedangkan masa terus berlalu dan tidak akan kembali).

# Dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, ibu bapa jangan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

# Dengarlah cerita anak kerana cerita itu tidak akan dapat didengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (ini akan mengajar anak mengenai giliran untuk bercakap).

# Tenangkan anak setiap kali mereka memerlukannya.

# Tunjukkan kepada anak cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

# Buat sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari lahirnya. Sediakan hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak belajar menghargai. (Anak-anak yang lahir daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

# Kemungkinan anak menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan anda mengajar mereka lebih daripada sekali.

# Luangkan masa bersama anak di luar rumah, pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan berasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

# Dengar mimpi ngeri anak-anak. Mimpi ngeri mereka begitu realistik dalam dunia mereka.

# Hargai permainan kesayangan anak. Pada masa sama, mereka akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Minta kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

# Jangan membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

# Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

# Terimalah hakikat yang kadangkala anda bukan ibu bapa sempurna. Ini akan mengurangkan tekanan menjadi ibu bapa.

No comments:

Post a Comment